Astro Tambah Dua Saluran Sukan Untuk Liga Malaysia – Arena Bola & Arena Bola 2
February 9, 2023 Hafizuddin Omar

Stesen televisyen berbayar, Astro mengumumkan menambah dua saluran sukan yang khusus kepada bola sepak Liga Malaysia iaitu Arena Bola dan Arena Bola 2.

Kedua-dua saluran itu dapat ditonton para peminat bola sepak tempatan dengan definisi tinggi (HD) melalui saluran Astro 803 dan 804 masing-masing serta strim di Astro GO apabila dilancarkan bermula 23 Februari kelak.

Ianya akan menyiarkan secara langsung kesemua pertandingan di bawah kelolaan Malaysian Football League (MFL) yang terdiri daripada Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain itu, para peminat juga boleh menonton sorotan-sorotan serta menonton semula perlawanan di On Demand.

Kehadiran dua saluran tambahan ini hasil keterujaannya menjadi Rakan Penyiar Rasmi Liga Malaysia sehingga tahun 2025 serta bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai ‘Home of Sports’.

Bagi pelanggan Astro yang sudah mempunyai langganan pek Sports, saluran ini akan dapat diakses dengan segera tanpa sebarang kos tambahan.

Manakala bagi pelanggan Astro yang tidak mempunyai langganan pek Sports dan berminat untuk menambah akses bagi membolehkan menonton perlawanan Liga Malaysia sahaja boleh mendaftar di https://promotions.astro.com.my/details/ligakita dan menikmati harga pengenalan RM4.99/bulan selama tiga bulan sebelum bertukar kepada harga biasa iaitu RM9.99 sebulan.

Sementara itu, bagi pelanggan Astro yang tidak mempunyai pek Sports dan ingin menambah pek Sports yang turut merangkumi akses perlawanan Liga Malaysia, boleh menaik taraf dengan dengan tawaran istimewa berharga RM89.99/bulan.

Komen