Pemain import dari Republik Korea, Jang Jong-hyun muncul wira buat Terengganu Hockey Team (THT) apabila jaringan akhirnya ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan pasukan dari pantai timur itu dapat mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (MHL) pada malam tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu bermula dengan pendahuluan oleh TNB menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-13 sebelum THT menyamakan kedudukan menerusi Mohd Fikri Saari pada minit ke-20.
Pada minit ke-32, TNB sekali lagi berhasil mendahului dengan kedudukan 2-1 hasil jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan. Bagaimanapun, pendahuluan itu tidak berkekalan lama apabila Jong-hyun menyamakan kedudukan buat THT selang dua minit kemudian.
Tidak lama kemudian, THT pula mendahului dengan kedudukan 3-2 setelah Shello Silverius berhasil menyempurnakan jaringan pada minit ke-43. Akan tetapi, TNB sekali lagi berjaya mengikat kedudukan menjadi 3-3 menerusi jaringan Muhammad Amirul Amizan Azahar selang enam minit kemudian.
Minit ke-58 menjadi detik yang memastikan kejuaraan Piala Sumbangsih edisi kali ini menjadi milik THT sekali lagi apabila jaringan Jong-hyun berhasil menemui belakang jaring dengan menjadikan kedudukan 4-3 kekal sehingga ke wisel penamat.
Sebagai rekod, Piala Sumbangsih pada tahun lalu turut dimenangi oleh THT dengan menumpaskan TNB. Perlawanan itu dimenangi THT dengan keputusan 3-2 yang berlangsung di venue yang sama.
Featured Image: Malaysian Hockey Confederation