FAM Dalam Perancangan Lantik Jurulatih Luar Negara Kemudi Skuad Futsal Kebangsaan
February 10, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad futsal kebangsaan bakal mendapat bimbingan ketua jurulatih baharu dipercayai didatangkan dari luar negara.

Perkembangan tersebut hadir menerusi makluman daripada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman kepada para pengamal media dalam majlis pengumuman kerjasama FAM dan Joma Malaysia, semalam.

“Memang ada dalam perancangan kami untuk mengambil orang luar sebagai ketua jurulatih futsal yang baharu dan kita sudah mengenalpasti tiga nama dan akan dipilih selepas sesi temuduga yang akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Futsal Kebangsaan.” katanya.

Bagaimanapun, Noor Azman tidak berkongsikan sebarang bayangan mengenai negara mahupun latar belakang calon jurulatih-jurulatih terbabit. 

Sebagai rekod, jawatan ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan sebelum ini dipegang oleh bekas pemain futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong sejak September 2016.

Penggunaan kepakaran ketua jurulatih dari luar negara bukanlah sesuatu yang asing bagi skuad futsal kebangsaan. Antaranya, Marcelo Serpa, Silvio Sergio Machado (Brazil) dan Victor Hermans (Belanda).

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen