Undian Piala FA: Juara Bertahan Lawan Polis Di Pusingan 16
February 10, 2023 Hafizuddin Omar

Permulaan perjalanan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Piala FA 2023 dilihat mudah apabila bertemu Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) pada Pusingan 16.

Pertemuan itu terhasil selepas keluarnya keputusan undian Piala FA edisi ke-32 yang berlangsung pada hari ini.

Majlis undian itu juga menyaksikan naib juara edisi lalu, Terengganu FC akan memulakan kempen dengan bertemu pendatang baharu Liga M3 iaitu Melaka FC di peringkat yang sama.

Beberapa pertemuan lain yang turut bermula pada Pusingan 16 adalah Sabah FC menentang Kelantan United FC dan Negeri Sembilan FC menentang PIB FC.

Manakala baki kelab yang lain perlu memulakan kempen kejohanan kalah mati ini di Pusingan 1 iaitu melibatkan Kedah Darul Aman FC menentang Penang FC, Perak FC berentap menentang Sri Pahang FC, Manjung City FC bertemu Sains FC dan BRM FC melawan Imigresen FC.

Sementara itu, keputusan undian turut memperlihatkan Kucing City FC, Selangor FC, Kelantan FC dan Kuala Lumpur City FC menunggu di Pusingan 16 dan menantikan pemenang dari Pusingan 1.

Untuk makluman, perlawanan Pusingan 1 akan berlangsung pada 8 Mac disamping perlawanan akhir dijangka diadakan pada 22 Julai di venue yang akan ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) kelak.

Secara keseluruhan, kempen Piala FA edisi kali ini disertai sebanyak 20 buah kelab yang turut terdiri daripada enam kela dari kancah Liga M3 2023.

Sejak dipertandingkan julung kalinya pada tahun 1990, Selangor dan Kedah Darul Aman muncul juara paling banyak iaitu sebanyak lima kali masing-masing. Ia diikuti dengan Sri Pahang dan Kuala Lumpur City yang merangkulnya sebanyak tiga kali masing-masing.

Untuk makluman, majlis undian pada hari ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam dan pemain legenda tanah air, Azman Adnan.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen