Terengganu Pinjam Matdon Selama Setahun, Beri Jersi No.80
February 12, 2023 Hafizuddin Omar

Khidmat pemain naturalisasi skuad kebangsaan, Liridon Krasniqi atau terkenal dengan nama panggilan Matdon dibidik oleh naib juara Liga Super dan Piala FA musim lalu iaitu Terengganu FC.

Karier pemain tengah berusia 31 tahun itu diteruskan bersama kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air apabila Terengganu mengikatnya dengan kontrak pinjaman selama setahun daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkembangan dan pengesahan tersebut hadir menerusi satu makluman menerusi laman sesawang rasmi kelab, pada hari ini.

Pada masa yang sama, pemain tengah terbabit bakal menyerikan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner dengan jersi bernombor 80 bagi mengharungi saingan domestik yang terdiri daripada Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia serta kancah antarabangsa, Piala AFC.

Sebagai rekod, kelab terakhir disertai Liridon sebelum menyertai Terengganu ialah Khon Kaen United yang beraksi dalam kancah Liga Thailand.

Sebelum itu, pemain berasal dari Kosovo berkelana di Liga India dan Liga Australia dengan menyertai Odisha FC dan Newscastle Jets masing-masing.

Featured Image: Terengganu FC

Komen