Artikel

NJOI Tawar Pek Liga Malaysia Pada Harga RM29 Selama 30 Hari

Perkhidmatan TV satelit tanpa langganan bulanan yang dimiliki Astro iaitu NJOI turut tampil menawarkan pek Liga Malaysia kepada para peminat bola sepak tempatan.

Menerusi siaran akhbar yang diedarkan, terdapat dua pilihan tawaran oleh NJOI yang terdiri daripada Pek Liga Malaysia dan Pek Sports Mega Baharu bagi membolehkan menyaksikan saingan Liga Malaysia.

Bagi Pek Liga Malaysia, NJOI menetapkan harganya pada RM29 selama 30 hari. Pembeli pek ini akan diberikan akse kepada tiga saluran iaitu Arena 2, Arena Bola dan Arena Bola 2 bagi menikmati perlawanan-perlawanan Liga Malaysia. 

Manakala bagi Pek Sports Mega Baharu yang terkandung siaran perlawanan Liga Malaysia di dalamnya berserta sukan-sukan lain, ianya ditetapkan pada harga RM70 juga selama 30 hari. Pembeli pek ini akan diberikan akses kepada saluran Arena Bola dan Arena Bola 2.

Pelanggan yang mendapatkan mana-mana pek di atas akan diberikan akses penstriman percuma ‘on the go’ melalui sooka.

Bagaimanapun, kedua-dua pek tersebut tersedia untuk dibeli bermula 23 Februari 2023 – sehari sebelum berlangsungnya Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) merangkap perlawanan pertama Liga Super melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Pembelian boleh dibuat melalui NJOI App.

komen