Enam Pemain Import Perkuat The Cops Harungi Liga Malaysia 2023
February 13, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) akan mengharungi saingan Liga Super dan pertandingan-pertandingan lain Liga Malaysia dengan kekuatan pemain import seramai enam orang sahaja.

Jumlah kehadiran pemain import itu disahkan sendiri oleh ketua jurulatih skuad berjulukan The Cops, Azzmi Ab Aziz sepertimana dilaporkan oleh Harian Metro.

Menerusi perkongsian di platform media sosialnya, lima pemain import baharunya diperkenalkan seorang demi seorang bermula sekitar penghujung Januari lalu.

Dua daripada lima pemain terbabit merupakan pemain yang tidak asing lagi dengan kancah bola sepak tanah air iaitu penyerang berdarah campuran Brazil-Jepun, Bruno Suzuki serta pemain dari Nigeria, Uche Agba.

Bruno bukan sahaja tidak asing dengan kancah bola sepak tempatan memandangkan pernah beraksi di Malaysia sejak tahun 2017 bahkan merupakan bekas pemain import PDRM FC sendiri pada musim 2021.

Sementara itu, Agba yang merupakan bekas pemain PDRM pada musim 2019 kembali menyertai skuad The Cops selepas meninggalkan Sarawak United.

Baki tiga lagi pemain importnya adalah pemain tengah Marcus Macauley (31 tahun, Liberia), Kyaw Min Oo (26 tahun, Myanmar) dan pertahanan James Okwuosa (32 tahun, Nigeria).

Sementara itu, seorang lagi pemain importnya adalah pemain tengah berusia 29 tahun dari Jordan, Fadi Awad yang dikekalkan daripada skuad musim lalu.

Nampaknya, PDRM FC menjadi pasukan ketiga selepas Negeri Sembilan FC dan Kelantan United FC yang mengesahkan tidak memenuhi kuota sembilan pemain import sepertimana dibenarkan penganjur, Malaysian Football League (MFL) bermula musim ini.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad The Cops beraksi di Liga Super adalah pada musim 2020.

Featured Image: PDRM Football Club

Komen