53 Daripada 75 Perlawanan Siaran RTM Adalah Saingan Liga Super
February 14, 2023 Hafizuddin Omar

Sepertimana sedia maklum, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut sama menjadi Rakan Penyiar Liga Malaysia 2023. 

Hasil kolaborasi ini, sebanyak 75 perlawanan akan disiarkan secara langsung dan percuma menerusi saluran serta platform RTM.

Dalam Majlis Pelancaran RTM Sebagai Rakan Penyiar Malaysian Football League (MFL) yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil, 53 daripada 75 perlawanan yang disiarkan terbabit adalah melibatkan saingan Liga Super.

Ini termasuk perlawanan pertama Liga Super melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC merangkap Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 24 Februari di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Pertembungan melibatkan juara dan naib juara Liga Super itu akan disiarkan menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan RTM Klik.

Sementara itu, baki 22 perlawanan lagi merangkumi 8 perlawanan Piala FA dan 14 perlawanan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, tiada sebarang perincian mengenai perlawanan peringkat manakah bakal disiarkan oleh stesen televisyen milik kerajaan ini bagi kedua-dua kejohanan kalah mati terbabit.

Untuk makluman, kesemua perlawanan ini akan disiarkan menerusi saluran TV2, TV Okey, Sukan RTM dan RTM Klik.

Komen