5 Kelab Rebut RM4,000 Saingan Sulung Liga Wanita Anjuran KLFA
February 14, 2023 Hafizuddin Omar

Wang ganjaran sebanyak RM4,000 berserta trofi kejuaraan akan direbut oleh lima buah kelab yang mengesahkan diri untuk berentap dalam saingan sulung Liga Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) 2023.

Manakala kelab yang muncul naib juara serta menduduki tempat ketiga, keempat dan kelima akan menerima wang tunai berjumlah RM3,000, RM2,000, RM1,000 dan RM500 masing-masing.

Ganjaran tersebut diumumkan oleh Pengerusi Pertandingan Liga Wanita KLFA, Puan Nor Asyikin Jaafar ketika majlis prapelancaran yang bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada hari ini.

Badan bola sepak induk yang berpangkalan di ibu kota tanah air meletakkan matlamat utama penganjuran liga ini adalah untuk menarik minat golongan wanita agar lebih cenderung  untuk menceburi dan menyerlahkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.

Selain itu, ianya berperanan untuk memberi ruang dan peluang kerjaya khusus kepada para wanita untuk menceburi bidang kejurulatihan dan melahirkan lebih ramai pengadil wanita yang berkaliber.

Tambahan pula, pihak KLFA turut menjadikan penganjuran liga ini sebagai platform untuk menguji seterusnya memilih lebih ramai pemain berpotensi yang boleh mewakili Kuala Lumpur dalam kejohanan Liga Wanita Nasional anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Untuk makluman, lima buah kelab yang mengesahkan diri untuk berentap dalam saingan liga ini ialah NAJ FC, Wangsa Maju FC, Mixstar FC, Wonder Girls FC dan Sternen FC yang kesemuanya berpangkalan di Lembah Klang.

Semua perlawanan dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya bermula 17 Februari hingga 4 Mac 2023.

Komen