Para peminat bola sepak tempatan berkemungkinan besar dapat menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka beraksi dalam kancah Liga Malaysia menerusi tayangan skrin besar di beberapa tempat terpilih.
Perkembangan ini hadir melalui makluman oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil setelah beliau mengadakan perbincangan awal bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Kita harap mungkin akan ada sedikit kerjasama bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan untuk membuat siaran (langsung) secara skrin besar di beberapa tempat strategik yang bergantung kepada perlawanan-perlawanan tertentu,”
“Saya bersama-sama Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan (dan) Ketua Pengarah Penyiaran telah mengadakan satu pertemuan awal dan kita akan telusuri isu ini supaya kita dapat umumkan jadual siaran secara big screen,” katanya ketika ditemui para media selepas Majlis Pelancaran RTM Sebagai Rakan Penyiar Rasmi Malaysian Football League (MFL) di Angkasapuri, hari ini.
Difahamkan, inisiatif tayangan skrin besar akan dibuat apabila sesebuah kelab itu beraksi di halaman lawan. Sebagai contoh, apabila Selangor turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, pihak KKD dan KBS akan membuka tayangan skrin besar di beberapa lokasi di negeri Selangor dan begitulah sebaliknya.
Ini memberi peluang kepada para penyokong yang tidak dapat turun ke stadium pasukan lawan menyaksikan secara langsung untuk menikmati menonton perlawanan bola sepak secara beramai-ramai di kawasan sekitar mereka.