Pasukan yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan pelabur tempatan, Norizam Tukiman iaitu Kelantan FC tampil mengumumkan tambahan seorang lagi pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.
Menerusi satu makluman, bekas bek kanan yang pernah beraksi dalam kancah La Liga, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau lebih mesra dengan nama panggilan Cifu disahkan menjadi milik skuad berjulukan The Red Warriors itu.
“Kelantan Football Club mengucapkan selamat datang kepada Miguel Cifuentes ke skuad The Red Warriors.”
Miguel Cifuentes #IsRedWarrior 🔴⚪️
Selamat datang ke Kota Bharu, Cifu!
Miguel Ángel Garrido Cifuentes lebih dikenali sebagai Cifu, mempunyai pengalaman dalam dunia bola sepak di Sepanyol. Beliau juga pernah bermain dengan beberapa pasukan besar di La Liga. pic.twitter.com/CyHmCWq4hC
— TRW KELANTAN FC (@kelantanfc_trw) February 14, 2023
“Beliau akan bersama pasukan dalam saingan Liga Super Malaysia 2023.” tulis kenyataan alu-aluan kelab kepada pemain berusia 32 tahun tersebut.
Seperti dinyatakan di atas, bek kanan merupakan posisi yang dominan dan seringkali dimainkan oleh Cifu bersama kelab-kelan yang disertainya sebelum ini. Namun, pemain yang memiliki ketinggian 1.73 meter (m) ini turut berkemampuan untuk bermain sebagai sayap kanan.
Untuk makluman semua, ini merupakan kali pertama dalam karier bola sepak Cifu beraksi di luar negara dan benua kelahirannya.
Sebelum ini, kariernya hanya bertumpu di Sepanyol bersama Torellano Illice, Orihuela, Elche, Girona, Malaga, Albacete dan Ibiza.
Sebagai rekod, Cifu menjadi pemain import keenam yang diikat oleh Kelantan pada jendela perpindahan kali ini.
Sebelum ini, kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung ini telah mendapatkan Christian Rontini, Mario Aques, Nuha Marong Krubally, Kim Ming-kyu dan Kang Eui-chan.
Featured Image: Elche CF