Selepas Setengah Musim Bersama JDT, Levy Madinda Dipinjamkan Kepada Negeri Sembilan
February 15, 2023 Hafizuddin Omar

Jodoh pemain tengah kelahiran Gabon, Levy Madinda bersama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) ‘tergantung’ seketika apabila pemain ini dipinjamkan kepada Negeri Sembilan FC bermula saingan Liga Malaysia 2023.

Pemain berusia 30 tahun ini mengsahkan penghijrahannya ke skuad Hoben Jang Hoben menerusi kemaskini di ruangan profil pada akaun Instagram peribadinya yang memaklumkan dipinjamkan oleh JDT.

Hantaran terbaru di akaun media sosialnya itu turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kerana memberikannya peluang untuk menyertai skuad berjulukan Harimau Selatan terbabit.

Madinda telah membuat penampilan pertama bersama Negeri Sembilan dengan disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika turun menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Perlawanan terbabit berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan Filemon Anyi dan Tchetche Kipre masing-masing.

Kemasukan Madinda turut menjawab teka-teki pemain import ketiga dan terakhir skuad bimbingan K. Devan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 sepertimana bayangan diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Satwant Singh pada minggu lalu.

Sebelum ini, Negeri Sembilan telah mengesahkan mengekalkan khidmat pertahanan import musim lalu, Herold Goulon serta mendapatkan penyerang skuad kebangsaan Republik Chad, Ezechiel N’douassel.

Untuk pengetahuan semua, Madinda yang pernah beraksi bersama Sabah FC pada tahun 2021 menyertai JDT pada jendela perpindahan pertengahan musim lalu.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen