Mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin atau terkenal dengan panggilan KJ kini mendapat peranan baharu dalam arena bola sepak tempatan apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkembangan itu hadir secara rasmi apabila pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan penyertaan KJ dalam Lembaga Pengarah JDT selepas mendapat persetujuan ahli politik berusia 47 tahun tersebut. Selain itu, KJ yang merupakan mantan Ahli Parlimen Rembau turut dilantik sebagai Penasihat Belia Johor.
Saya telah bertemu Khairy Jamaluddin & bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor & sebahagian Lembaga Pengarah JDT.
Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia & kemajuan bola sepak Johor. pic.twitter.com/S476jwWNQl
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) February 15, 2023
“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor.” tulis baginda yang juga merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Perkembangan perlantikan KJ itu disusuli dengan ucapan selamat datang dan tahniah daripada pihak kelab JDT sendiri.
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) would like to welcome and congratulate Khairy Jamaluddin on his appointment as a member of the JDT Board of Directors following the announcement by JDT owner HRH Major General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Crown Prince of Johor.
[1/2] pic.twitter.com/QTrcqAefP8
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 15, 2023
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas perlantikan beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah JDT selepas diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.” kongsi makluman rasmi kelab, pada hari ini.
Menariknya, perlantikan KJ ke dalam Lembaga Pengarah JDT hadir selepas Tunku Ismail merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) membuat satu hantaran di Instagram Story pada akaun peribadi milik baginda pada penghujung Januari lalu.
Hantaran itu memberi bayangan KJ bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT pada masa hadapan.
Untuk makluman semua, arena bola sepak bukanlah satu perkara yang asing buat KJ. Beliau pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan dari tahun 2013 hingga 2018 ketika kabinet pada ketika itu diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Selain itu, KJ juga pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula tahun 2007.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers