Para peminat bola sepak tempatan di luar negara namun berada di dalam rantau asia tenggara (ASEAN) masih boleh menikmati perlawanan-perlawanan bola sepak Liga Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi penstriman milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu RTM Klik.
Bagaimanapun, pengguna dari luar rantau ASEAN tidak akan dapat menonton aksi bola sepak tempatan yang disiarkan menerusi aplikasi penstriman terbabit kerana terdapat sekatan geografi (geo-block).
Menteri Belia dan Sukan, YB Fahmi Fadzil mengungkapkan perkara berkenaan ketika berucap dalam Majlis Pelancaran RTM Sebagai Rakan Penyiar Liga Malaysia 2023 di Angkasapuri, semalam.
“RTM akan menyiarkan sebanyak 75 perlawanan secara siaran langsung melalui saluran TV2, Okey dan Sukan RTM. Penstriman langsung juga turut disediakan di aplikasi RTM Klik.”
“Cuma sebagai peringatan, bagi warga Malaysia yang mungkin (terdiri daripada) pelajar-pelajar atau yang tinggal di luar ASEAN, pada waktu ini terdapat geo-block yang mana hanya bagi mereka (yang berada) dalam lingkungan ASEAN boleh menonton RTM Klik.”
“Tapi mungkin kita akan teliti sekiranya ada apa-apa boleh kita bantu sebab anak-anak muda, mahasiswa yang belajar di Amerika Syarikat dan sebagainya, mereka pun ingin tonton.
“Jadi, ini antara perkara yang akan kita bincangkan.” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Di dalam majlis itu juga, perincian mengenai siaran langsung perlawanan-perlawanan Liga Malaysia dikongsikan kepada umum. Stesen televisyen milik kerajaan itu akan menyiarkan 53 perlawanan Liga Super, 8 perlawanan Piala FA dan 14 perlawanan Piala Malaysia.
Fahmi menegaskan, bertepatan dengan slogan “Sukan Untuk Semua”, sukan kegemaran dan kesayangan rakyat Malaysia ini mestilah boleh ditonton secara percuma oleh semua lapisan masyarakat.