Selangor Umum Kedatangan Pemain Import Terakhir – ‘Playmaker’ Venezuela Usia 31 Tahun
February 16, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain tengah menyerang kelahiran Venezuela, Yohandry Jose Orozco Cujia atau lebih dikenali sebagai Orozco menjadi pemain import terakhir yang diikat oleh Selangor FC pada jendela perpindahan kali ini.

Kehadiran pemain berusia 31 tahun terbabit diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik skuad berjulukan Gergasi Merah, semalam.

Bercakap mengenai kariernya, Orozco mula bermain bola sepak secara profesional pada tahun 1991 ketika berusia 16 tahun bersama Maracaibo yang berpangkalan di negara kelahirannya. 

Sejak daripada itu, Orozco meneruskan karier di pelbagai kelab dari beberapa benua seperti Zulia, VfL Wolfsburg (Jerman, Eropah), Deportiva Tachira, New York Cosmos (Amerika Syarikat, Amerika Utara), Deportes Tolima, Puebla, Atletico Junior dan Santa Fe.

Kelab terakhir yang disertainya ialah Deportiva Tolima dengan merekodkan 114 penampilan, merekodkan 12 jaringan serta mencipta 18 bantuan gol sepanjang dua musim bersama pasukan tersebut.

Untuk makluman, Orozco menjadi pemain import keempat yang terbaru ditandatangani Selangor pada jendela perpindahan kali ini.

Sebelum ini, Selangor telah mendatangkan Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu dan Ayron del Valle. Manakala seramai empat pemain import musim lalu dikekalkan oleh skuad bimbingan Tan Cheng Hoe iaitu Yazan Al-Arab, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan Hein Htet Aung.

Featured Image: Instagram Yohandry Orozco

Komen