Liga Malaysia Dapat Tajaan Jenama Air Mineral Semula Jadi Beroksigen Selama 1 Tahun
February 16, 2023 Hafizuddin Omar

Saingan bola sepak tempatan, Liga Malaysia yang dikelolakan oleh Malaysian Football League (MFL) terus-menerus mendapat sokongan dalam bentuk penajaan daripada syarikat-syarikat perniagaan.

Terbaru, MFL mengumumkan menerima tajaan daripada jenama air semula jadi beroksigen iaitu BubbleO2 selama setahun sekaligus diangkat menjadi Rakan Rasmi Air Mineral Semulajadi Beroksigen Liga Malaysia.

Penajaan BubblesO2 kepada MFL termeterai secara rasmi selepas Stuart Ramalingam dan Ain Azizah Ariffin merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mewakili kedua-dua entiti terbabit masing-masing menandatangani kontrak penajaan bertempat di Hilton Petaling Jaya, pada hari ini.

Bagaimanapun, jumlah panajaan daripada BubblesO2 kepada MFL tidak didedahkan kepada umum.

Dimaklumkan, ini merupakan kali pertama buat BubblesO2 yang mengambil punca air jenis bawah tanah bertempat di Rantau, Negeri Sembilan terlibat dalam penajaan bola sepak. 

Akan tetapi, ini bukanlah penajaan pertamanya dalam arena atau aktiviti sukan tanah air. Sebelum ini, BubblesO2 sudah bekerjasama serta menaja pelbagai sukan lain seperti bersama pasukan Petronas Yamaha Sprinta-CKJ Racing untuk Kejohanan CubPrix Kebangsaan (2018-2020), kontinjen Majlis Sukan Wilayah Persekutuan semasa SUKMA 2022, pasukan besbol kebangsaan 2022 serta Kejohanan Silat Dunia 2022. 

Untuk makluman semua, produk BubblesO2 ini boleh didapati di rangkaian 7-Eleven,kedai Mesra Petronas di semenanjung Malaysia, AeonBIG Hypermarket, AeonMall Store, rangkaian EMart 24 serta Express Mart.

Selain itu, ianya turut ditempatkan untuk pembelian para pengembara di lapangan terbang seperti KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, kedai serbaneka dan farmasi di hospital-hospital awam dan swasta di Lembah Klang serta kawasan R&R di sepanjang lebuhraya PLUS.

Komen