Legenda Inter Bakal Lawat Pusat Latihan JDT & Tonton Aksi Perlawanan Sumbangsih
February 16, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain legenda Inter Milan dan skuad kebangsaan Argentina, Javier Zanetti menjadi salah seorang tetamu istimewa yang akan turun menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada Jumaat hadapan.

Kehadiran bekas pertahanan yang pernah merangkul trofi Liga Juara-Juara UEFA 2009/10 dan lima kejuaraan Serie A serta pelbagai kejuaraan lain disahkan sendiri oleh pihak JDT menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Difahamkan, Zanetti yang kini berperanan sebagai Naib Presiden Inter Milan bukanlah satu-satunya tetamu istimewa pada Perlawanan Sumbangsih tersebut. Ianya akan turut dihadiri ejen bola sepak terkenal, Morris Pagniello serta Bendahari Persekutuan Judo Antarabangsa, Naser Al Tamimi.

Selain menonton aksi Perlawanan Sumbangsih, para tetamu istimewa akan turut  mengunjungi Pusat Latihan JDT.

JDT yang seperti kita sedia maklum dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) melihat lawatan daripada para tetamu istimewa ini bertindak sebagai peluang untuk melakukan kerjasama antarabangsa dengan rakan-rakan kongsi ternama dari seluruh dunia.

Featured Image: Inter

Komen