Artikel

Kim Pan-gon Kongsi Pro & Kontra Beraksi Di Atas Cow Grass

Pengendali skuad senior kebangsaan, Kim Pan-Gon mempunyai dua sudut pandang berbeza mengenai penggunaan rumput jenis ‘cow grass’ – jenis rumput berdaun lebar yang digunakan di majoriti stadium dalam negara termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada ketika ini.

Jurulatih dari Korea yang berusia 53 tahun terbabit berkata penggunaan rumput ‘cow grass’ ada pro-nya yang tersendiri terutamanya menyukarkan pasukan lawan yang tidak biasa beraksi di atasnya.

“Saya mempunyai dua sudut pandang berbeza, kadangkala ‘cow grass’ membuatkan pasukan lawan menderita kerana mereka tidak biasa beraksi di atasnya,”

“Boleh menjadi satu kesukaran buat mereka,” katanya dalam sesi media bersama para pengamal media tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini. 

Bagi skuad Harimau Malaya pula, Pan-gon berkata corak permainan skuad negara akan menjadi sangat ‘direct’ dan pantas. Lebih-lebih lagi skuad Harimau Malaya mempunyai barisan pemain hadapan yang pantas pada ketika ini.

Bagaimanapun, Pan-gon menjelaskan kadangkala rumput ‘cow grass’ membuatkan permainan menjadi perlahan kerana pergerakan bola terbatas.

Namun begitu, Pan-gon menegaskan Malaysia tidak boleh kekal bermain di atas padang berumput sedemikian kerana saingan Piala Asia kelak akan dimainkan di stadium-stadium yang menganjurkan Piala Dunia 2022 Qatar – tidak menggunakan rumput ‘cow grass’.

“Sekiranya kita biasa beraksi di atas rumput ‘cow grass’ dan tiba-tiba bermain di stadium Piala Dunia (yang tidak menggunakan rumput ‘cow grass’), kta akan menderita (bergelut),”

Untuk makluman semua, skuad Harimau Malaya bimbingan Pan-gon disahkan akan menghadapi Turkmenistan (ranking ke-135) dan Hong Kong (ranking ke-146) pada rehat antarabangsa FIFA bertarikh bermula 20 hingga 28 Mac kelak di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). 

Tambahnya lagi, ini merupakan masa yang tepat untuk beraksi di gelanggang milik skuad Harimau Selatan terbabit yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia – memiliki daun yang lebih halus.

Selain itu, gelanggang utama bagi skuad kebangsaan iaitu SNBJ akan turut sama menggunakan rumput jenis dengan kerja-kerja penukaran rumput difahamkan akan dimulakan pada Mac kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen