Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu menghantar skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) bagi menggantikan skuad B-23 bagi beraksi di temasya Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China pada penghujung September hingga awal Oktober nanti.
Badan induk bola sepak negara menerusi Pengarah Teknikal, Scott O’Donell mempunyai alasan tersendiri tidak berbuat demikian walaupun dapat memberikan pendedahan kepada para pemain remaja kebangsaan.
Alasan terbabit diberikan lebih-lebih lagi acara bola sepak di Sukan Asia akan dipertandingkan kepada pemain-pemain usia 24 tahun dan ke bawah berbanding usia 23 tahun dan ke bawah sepertimana edisi-edisi lalu.
“Jika kami menghantar skuad B-19 ke pertandingan B-24, kami menghantar mereka dan tidak menampilkan persembahan yang baik, kami akan dikritik atas prestasi yang teruk,”
“Kami juga perlu adil kepada pemain-pemain dan para jurulatih,” jelasnya dalam sesi bersama media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.
Menurutnya, keputusan untuk menghantar skuad B-19 bukan sahaja tidak adil bahkan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
Untuk makluman, FAM membuat keputusan tidak menghantar skuad B-23 ke Sukan Asia kerana mahu memberikan tumpuan kepada Kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Sekiranya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2024 kelak, skuad Harimau Muda berpeluang memburu slot ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menjadi tiga pasukan terbaik di kejohanan terbabit.
Tambahan pula, penganjuran Kelayakan Piala Asia B-23 serta temasya Sukan Asia 2022 hanya berselang tidak sampai dua minggu menjadikan skuad Harimau Muda terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat dalam tempoh kira-kira sebulan.
Featured Image: Football Association of Malaysia