Artikel

Kelantan Penuhkan Kuota Pemain Import Hadapi Liga Malaysia 2023

Pendatang baharu Liga Super 2023, Kelantan FC akan memenuhkan kuota sembilan pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengesahan itu hadir selepas Norizam Tukiman selaku pemilik skuad berjulukan The Red Warriors memaklumkan seramai tiga orang lagi pemain import akan menyertai pasukannya selepas mengikat pemain import keenam pada pertengahan Februari lalu.

Dua daripada tiga pemain import terbabit ialah Carli de Murga yang datangnya dari Johor Darul Ta’zim (JDT) serta penyerang Nigeria, Ismahil Akinade.

Seperti sedia maklum, Carli yang merupakan pertahanan kelahiran Sepanyol yang memiliki pasport Filipina bukanlah pemain yang asing dalam kancah bola sepak tanah air.

Sebelum menyertai JDT, Carli terlebih dahulu telah beraksi bersama ‘rival’ kepada Kelantan iaitu Terengganu FC.

Ismahil yang berusia 29 tahun pula merupakan bekas penyerang Sheikh Russel FC yang beraksi dalam kancah bola sepak Bangladesh.

Manakala seorang lagi pemain tidak dinyatakan secara khusus oleh Norizam namun memberi bayangan merupakan seorang penyerang yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Australia.

Sebagai rekod, enam pemain import yang telah diikat oleh Kelantan sebelum ini ialah Christian Rontini, Mario Aques, Nuha Marong Krubally, Kim Ming-kyu dan Kang Eui-chan.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen