Safee Sali Umum Persaraan Pada Usia 39 Tahun
February 21, 2023 Hafizuddin Omar

Selepas menjaringkan lebih 183 gol untuk kelab dan negara sepanjang karier bola sepak, penyerang prolifik tanah air, Safee Sali mengumumkan persaraannya pada usia 39 tahun.

Pemain yang berasal dari Kajang, Selangor ini mengumumkan persaraannya dalam satu sidang media yang berlangsung di Sofitel Kuala Lumpur, pada hari ini.

Secara langsungnya, perlawanan akhir Piala AFC 2022 antara Kuala Lumpur City FC (KL City) menentang Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi penampilan profesional yang kompetitif terakhir buat kariernya.

Lebih manis, pasukan terakhir yang diwakilinya itu juga merupakan pasukan pertama disertainya ketika memulakan karier bola sepak profesional sekitar tahun 2004.

Antara pasukan lain yang pernah diwakili Safee ialah Sarawak, Selangor, Pelita Jaya (Indonesia), Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNS FC dan PJ City.

Sebagai rekod, Safee bersara dengan deretan trofi kejuaraan seperti Piala FA, Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sultan Haji Ahmad Shah serta Piala AFC dan Piala AFF.

Selain deretan trofi terbabit, Safee turut merangkul pelbagai anugerah individu. Sudah pasti yang paling mahal dan diingati adalah anugerah Kasut Emas Piala AFF 2010 dimana lima jaringannya telah memacu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat julung kalinya.

Featured Image: Syamil Rosli | PFA Malaysia

Komen