Bank digital milik Al Rajhi Bank Malaysia yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu iaitu Rize diumumkan sebagai Rakan Bank Digital Rasmi Liga Malaysia 2023.
Perkembangan itu hadir selepas Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) dan penganjur liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan telah menandatangani perjanjian penajaan selama setahun pada hari ini.
Sebagai pendahuluan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Rajhi Bank, Arsalaan Ahmed memaklumkan pengguna baharu dan sedia ada Rize akan layak mendapat diskaun sebanyak 10% daripada harga tiket jika bayar menggunakan kad debit Rize.
Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) telah menandatangani perjanjian penajaan dengan Malaysian Football League (MFL) untuk meletakkan bank digitalnya, rize selaku Bank Digital Rasmi Liga Malaysia 2023.#LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 21, 2023
Difahamkan penawaran ini juga terbuka kepada pelanggan semasa Al Rajhi Bank selama tiga bulan.
Selain penawaran ini, Al Rajhi Bank mendedahkan akan membentangkan perancangannya mengenai kerjasama ini dengan lebih mendalam dalam beberapa minggu akan datang untuk para peminat bola sepak tempatan.
Untuk makluman semua, ini merupakan julung kalinya Al Rajhi Bank bekerjasama bagi menaja saingan bola sepak tempatan dan tajaannya turut merangkumi saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup serta Piala MFL.