Negeri Sembilan Umum Ikat Casagrande & Vinicius, Batal Ambil Ezechiel
February 22, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga keempat, Negeri Sembilan FC bertindak mengikat dua lagi pemain import dari Brazil pada jendela perpindahan pada ketika ini.

Dua pemain baharu yang diikat oleh skuad Hoben Jang Hoben itu ialah penyerang, Anselmo Arruda Da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande serta pemain tengah bertahan, Vinicius Leonel Ferreira Da Silva.

Kedatangan kedua-dua pemain ini diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan, sekitar tengah malam tadi.

Seperti kita sedia maklum, Casagrande bukan nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan. Pemain yang mempunyai ketinggian 1.93 meter (m) ini sudah beraksi di Malaysia sejak tahun 2018 lagi dengan kelab terakhirnya adalah Penang FC.

Sementara itu, bagi Vinicius pula, ini merupakan pengalaman pertamanya keluar meninggalkan negara kelahirannya dan beraksi di Malaysia. Kelab terakhirnya ialah CEOV Operario yang beraksi dalam liga anjuran salah sebuah negeri di Brazil.

Tidak cukup dengan kehadiran dua pemain baharu itu, Negeri Sembilan turut memberi bayangan untuk mendatangkan seorang lagi pemain import dari Singapura.

Sebelum ini, Negeri Sembilan telah mengesahkan menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Herold Goulon dan Levy Madinda.

Ini menjadikan Negeri Sembilan bakal mempunyai lima pemain import bagi mengharungi Liga Malaysia 2023 berbanding cadangan awal iaitu menggunakan seramai tiga orang pemain sahaja.

Pada masa yang sama, Negeri Sembilan turut mengesahkan membatalkan hasrat untuk mengikat penyerang Chad, Ezechiel N’douassel sepertimana yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Satwant Singh dalam satu kenyataan media awal Februari lalu.

Featured Image: Penang FC

Komen