Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali berhasil meledak lebih 183 gol secara keseluruhan samada bersama kelab mahupun ketika mewakili negara.
Ketika mengumumkan persaraannya pada usia 39 tahun dalam satu sidang media di Sofitel Kuala Lumpur, semalam, Safee sempat berkongsikan tiga jaringan terbaik pilihannya sepanjang hampir dua dekad bergelar pemain bola sepak profesional.
Safee menyatakan salah satu jaringan terbaiknya adalah ketika beraksi mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang kelab dari India, East Bengal pada peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC 2015.
Jaringan yang terhasil menerusi satu aksi ‘bicycle kick’ pada minit ke-53 setelah menerima hantaran daripada Nazrin Nawi berjaya mengalahkan penjaga gol, Abhijit Mondal serta membantu skuad Harimau Selatan merekodkan kemenangan besar 4-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Tonton sorotan perlawanan JDT menentang East Bengal DI SINI.
Manakala dua lagi jaringan terbaik pilihannya adalah ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya atau lebih spesifiknya semasa menyertai kejohanan Piala AFF 2010.
Pertamanya adalah jaringan ‘jump header’ ketika perlawanan akhir pertama (first leg) menentang Indonesia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Safee yang ketika itu berlari ke dalam kotak penalti, melompat, sebelum menanduk masuk bola melepasi Markus hasil satu hantaran cantik oleh Mahali Jasuli untuk memberikan jaringan ketiga buat Malaysia sekaligus menceriakan hampir 100,000 penonton yang hadir menyaksikan aksi terbabit.
Jaringan terbaik pilihannya yang terakhir adalah yang terhasil pada perlawanan timbal balik di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Jaringan tersebut dihasilkan Safee pada minit ke-54 setelah menerima lorongan daripada Ashari Samsudin.
Safee menjelaskan jaringan itu menjadi pilihannya kerana sukar disempurnakan kerana ianya menggunakan kaki kiri. Seperti kita sedia maklum, Safee merupakan pemain yang berkaki kanan dominan. Jika dilihat kepada ulang tayang, walaupun menggunakan kaki kiri, bola yang disepaknya tetap bergerak laju dan kencang serta menuju hampir kepada bahagian bucu gol.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers