Bek Kanan Muda Terengganu Lanjut Kontrak Sehingga Tahun 2025
February 22, 2023 Hafizuddin Omar

Bek kanan yang baru sahaja menginjak usia 22 tahun pada 12 Februari lalu, Azam Azmi Murad akan terus menyarung jersi Terengganu FC sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun lagi.

Pengesahan itu hadir selepas ejennya berkongsikan sekeping gambar Azam yang menyarung jaket kelab sedang menandatangani helaian dokumen melalui platform media sosialnya, pada hari ini.

Perkongsian itu diiringi dengan kapsyen ‘extension contract 2025’ melalui ciapan di akaun Twitter serta ‘EXTENDED’ menerusi Instagram Story.

Azam yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan sememangnya menjadi tonggak penting buat skuad berpangkalan di pantai timur terbabit terutamanya sejak musim 2021.

Peranan Azam bertambah penting pada musim lalu apabila dia diturunkan sebanyak 30 kali dalam kesemua pertandingan Liga Malaysia yang merangkumi saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain itu, saingan musim lalu turut menyaksikan Azam berhasil menyumbang satu gol ketika bertemu Sri Pahang dalam saingan Piala Malaysia serta dua ‘assist’ ketika berentap menentang Kuching City dan Sri Pahang dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia masing-masing. 

Featured Image: Terengganu FC

Komen