Pertahanan skuad kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin sudah tidak asing dalam kancah bola sepak tanah air dan tahun ini bakal menjadi tahun ke-12 buat dirinya beraksi di Liga Malaysia.
Pertahanan berusia 32 tahun ini disahkan kekal beraksi di Malaysia apabila pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat pada tahun lalu, Negeri Sembilan FC mengumumkan secara rasmi mendapatkan khidmatnya.
“Safuwan Baharudin akan beraksi bersama Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Malaysia 2023,” tulis kenyataan kelab berjulukan The Jangs itu menerusi pelbagai platfrom media sosial rasminya pada hari ini.
MUHAMMAD SAFUWAN BAHARUDIN, HERE WE POIE!🟡⚫🔴
Safuwan Baharudin akan beraksi bersama Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Malaysia 2023.
Safuwan bukanlah nama asing dalam saingan Liga Malaysia. Beliau pernah beraksi bersama pasukan PDRM FC, Sri Pahang FC dan Selangor FC. pic.twitter.com/OTIh0i6sBX
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) February 22, 2023
Melalui pengumuman terbabit, Negeri Sembilan menjadi pasukan keempat yang disertai oleh Safuwan di Malaysia selepas PDRM FA, Pahang dan Selangor FC.
Antara tahun 2012 hingga 2015, Safuwan beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama pasukan Lions XII – pasukan jemputan yang dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Ketika awal tahun 2015, Safuwan pernah berkelana seketika di bumi Australia dengan menyertai Melbourne FC secara pinjaman. Namun setelah tamat tempoh pinjaman terbabit, Safuwan kembali bersama Lionx XII.
Untuk makluman semua, kedatangan Safuwan menjadikan Negeri Sembilan memiliki lima pemain import bagi mengharungi saingan musim ini.
Empat pemain import yang telah ditandatangani oleh Negeri Sembilan ialah Herold Goulon (kekal), Levy Madinda (pinjam daripada JDT), Casagrande (berpindah dari Penang FC) dan Vinicius Leonel (berpindah dari kelab di Brazil).
Sebagai rekod, pada awalnya Negeri Sembilan hanya bercadang untuk menggunakan khidmat pemain import seramai tiga orang sahaja namun menghampiri penutupan jendela perpinhan kali ini, mereka membuat ‘u-turn’ dan meningkatkannya kepada lima orang pemain.
Featured Image: Selangor FC