Artikel

MFL Sasar Dapat 15 Rakan Penaja Pertengahan Tahun Ini – Stuart Ramalingam

Kebelakangan ini pelbagai entiti perniagaan hadir untuk bekerjasama dengan Malaysian Football League (MFL) bagi menaja saingan bola sepak tempatan. 

Ini dapat dilihat sejak minggu lalu, MFL mengumumkan kehadiran Colgate, BubblesO2, Al Rajhi Bank dan AEON BiG sebagai rakan penaja baharunya.

Tidak berhenti setakat itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mendedahkan satu lagi entiti perniagaan akan masuk sebagai penaja ke-13 dengan pengumuman akan dibuat pada Mac kelak.

Pada masa yang sama, Stuart turut memaklumkan pihaknya dalam perbincangan beberapa lagi jenama lain dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini optimis MFL dapat menyasarkan pembabitan 15 rakan penaja menjelang pertengahan tahun ini.

“Saya percaya kita ada satu lagi pengumuman rasmi (penajaan), mungkin dalam (bulan) Mac, namun begitu, kami juga masih dalam perbincangan dengan dua hingga tiga lagi jenama,”

“Saya berharap kita mungkin dapat mencapai angka 15 rakan kerjasama pada pertengahan tahun ini.” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan kerjasama dengan AEON BiG, semalam.

Untuk makluman semua, barisan penaja lain yang masih menaja saingan Liga Malaysia ialah Unifi, Puma, Pos Malaysia, Alif, Malaysia Airlines, Uphamol, Proviton STR dan Origina.

Sementara itu, saingan musim ini turut menyaksikan Astro kembali sebagai Rakan Penyiar Rasmi manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku Rakan Penyiar.

Featured Image: Malaysian Football League

komen