Video: Safawi, Dion Cools Bantu Kelab Masing-Masing Ke Separuh Akhir Thai League Cup
February 23, 2023 Hafizuddin Omar

Dua pemain skuad kebangsaan yang beraksi dalam kancah bola sepak negara jiran tetangga iaitu Safawi Rasid dan Dion Cools kini menjadi semi-finalis bagi saingan Thai League Cup apabila kelab yang diwakili kedua-dua pemain itu masing-masing melakar kemenangan dalam aksi suku akhir, semalam.

Safawi dan Dion menyumbang secara langsung kepada kemaraan kelab masing-masing iaitu Ratchaburi FC dan Buriram United dengan diturunkan oleh ketua jurulatih sepanjang 90 minit berlangsungnya permainan terbabit.

Lebih manis, Safawi yang diturunkan menentang kelab liga divisyen ketiga Thailand, Samutsongkhram FC mencipta satu ‘assist’ yang membolehkan rakan sepasukannya, Krtitsananon Srisuwan menjaringkan gol seterusnya menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1 buat skuad The Dragons.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan sendiri Park Jun-Heong pada minit 30’ dan jaringan penyamaan oleh Anon Amornlerdsak pada minit 38’.

Sementara itu, Dion yang turun memperkuatkan barisan pertahanan menentang pasukan Thai League 1, Bangkok United pula berhasil memastikan pasukannya tidak merekodkan sebarang bolos.

Skuad berjulukan Thunder Castle ini berhasil melakar kemenangan bergaya 3-0 hasil jaringan Suphanat Mueanta, Haris Vuckic dan Goran Causic pada minit 30’, 50’ dan 77’ masing-masing.

Dua lagi kelab yang turut sama melangkah ke peringkat separuh akhir ialah PT Prachuap dan BG Pathum United. Untuk makluman, pertembungan peringkat separuh akan ditentunkan menerusi undian kelak.

Featured Image: Ratchaburi FC & Buriram United

Komen