Naib juara Piala FA dan Liga Super, Terengganu FC menambah seorang lagi pemain import sebelum tertutupnya jendela perpindahan pertama bagi saingan Liga Malaysia 2023.
Pemain import yang terbaru dan terakhir menyertai skuad Hitam Putih tersebut adalah pemain tengah yang berusia 31 tahun iaitu Omid Nazari merangkap bekas pemain Negeri Sembilan, musim lalu.
Kedatangan pemain kelahiran Sweden namun memegang pasport Filipina ini diumumkan oleh Terengganu secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial serta laman sesawang rasminya, pada hari ini.
Dimaklumkan, pemain berdarah campuran Iran-Filipina ini diberikan kontrak selama setahun dan mengisi kuota pemain import ASEAN.
Selamat Datang OMID NAZARI!🏴🏳️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/srch8np8ie
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) February 23, 2023
Untuk makluman, Omid merupakan antara tonggak utama yang membantu Negeri Sembilan kendalian K. Devan menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat pada musim lalu – pencapaian terbaik sejak muncul naib juara pada musim 2007-08.
Perkara itu boleh dibuktikan dengan rekod penampilan sebanyak 20 kali dalam saingan Liga Super disamping merekodkan lima penampilan secara keseluruhan dalam kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia.
Selain itu, Omid turut mempunyai rekod jaringan sebanyak satu gol yang dicetaknya ketika bertemu Terengganu dalam kejohanan Piala FA serta dua bantuan (assist) yang dicipta semasa menentang PJ City dan Kedah Darul Aman dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia masing-masing.
Untuk pengetahuan semua, Omid merupakan abang kepada Amin Nazari – pemain tengah yang pernah menyertai Kedah pada tahun 2020 semasa di bawah bimbingan jurulatih Singapura, Aidil Sharin Sahak.
Featured Image: FA Kedah & Instagram Omid Nazari