Perseorangan remaja lelaki dan wanita negara iaitu Justin Hoh dan Karupathevan Letshanaa berjaya merangkul kejuaraan dalam kategori masing-masing di kejohanan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023.
Justin, 18 tahun, merangkul kejuaraan berkenaan selepas berhasil menumpaskan pemain India yang berada di ranking ke-396 dunia secara “straight set” dengan skor 21-8 dan 21-12 dalam perlawanan akhir yang berlangsung petang tadi.
Kemenangan tersebut membolehkannya merangkul kejuaraan sulung bagi tahun ini serta membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai AS$1,800 atau menghampiri RM8,000 dan 4,000 pungutan mata.
Sementara itu, Letshanaa, 19 tahun, yang kini bergelar pemain bebas (indpendent) pula mengesahkan kejuaraan selepas menundukkan pemain Turkiye yang menghuni ranking ke-92 dunia, Neslihan Yigit juga menerusi “straight set” dengan skor 21-11 dan 21-8.
Kejuaraan ini juga merupakan yang pertama buat Letshanaa bagi tahun ini serta yang pertama buatnya selepas lima tahun dalam kejohanan antarabangsa. Kali terakhir Letshanaa merangkul kejuaraan adalah di saingan Antarabangsa Mauritius pada tahun 2018 lalu.
Sepertimana Justin, kemenangan dalam perlawanan akhir di Uganda ini memberikannya wang tunai bernilai hampir RM8,000 serta pungutan mata sebanyak 4,000.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia