Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dijangka akan membuat penampilan pertamanya bersama Njardvik FC dalam pertandingan kompetitif pada perlawanan seterusnya yang akan berlangsung Mac nanti.
Biarpun sudah menyertai pasukan berpangkalan di Iceland sekitar tiga minggu lalu, Luqman tidak dapat diturunkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini kerana menantikan pengesahan visa atau pendaftarannya daripada kerajaan negara kepulauan terbabit.
Njardvik berkongsikan perkembangan terbabit menerusi satu hantaran di pelbagai laman sosialnya sekitar tengah malam tadi. Difahamkan situasi tersebut turut terjadi kepada seorang lagi pemainnya iaitu Joao Ananias.
Pada masa yang sama, hantaran terbabit turut mengepilkan satu klip video yang memaparkan dua jaringan yang dilakukan oleh penyerang negara yang berusia 20 tahun tersebut.
Dua jaringan tersebut disempurnakan oleh Luqman ketika menentang Haukar dalam satu perlawanan persahabatan tidak rasmi pada minggu lalu.
Untuk makluman semua, Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman daripada KV Kortrijk dengan kontrak bertempoh selama semusim.