Baru-baru ini, pemain tengah skuad kebangsaan Thailand iaitu Titiphan Puangchan dikaitkan dengan menyertai sebuah kelab Liga Super Malaysia.
Bagaimanapun, ejen kepada pemain berusia 29 tahun terbabit, FPS Management & Consulting tampil memaklumkan kepada Sukanz bahawa tiada sebarang tawaran dikemukakan daripada kelab-kelab Liga Super bagi mendapatkan khidmat pemainnya.
Bukan itu sahaja, Thitiphan juga mempunyai kontrak jangka masa panjang bersama kelabnya pada ketika ini, Bangkok United iaitu sehingga Mei 2025.
Untuk makluman, Thitiphan baru sahaja menyertai kelab berjulukan The Angels itu secara tetap bermula tahun 2022 lalu. Sebelum itu, dia beraksi bersama Bangkok United sebagai pemain pinjaman.
Thitiphan yang seringkali menyarung jersi bernombor 8 bersama skuad kebangsaan Thailand bukan sahaja diketahui sebagai salah seorang tonggak pasukan bahkan turut menjadi ‘enjin’ bagi skuad berjulukan Gajah Perang apabila beraksi di tugasan antarabangsa sejak sekitar tahun 2017.
Setakat ini, Thitiphan sudah tampil sebanyak 48 kali bersama Thailand serta mempunyai rekod enam jaringan serta lima bantuan gol.
Bagi saingan peringkat kelab pula, Thitiphan sudah beraksi sekitar 285 kali dalam kancah bola sepak negara kelahirannya dengan beberapa kelab seperti Muangthong United, Suphanburi, Chiangrai United, BG Pathum United, Bangkok United termasuk berkelana seketika di Jepun bersama Oita Trinita pada tahun 2019.
Untuk makluman semua, Thitiphan dikaitkan dengan perpindahan ke saingan Liga Super Malaysia apabila didedahkan oleh seorang wartawan bola sepak di Thailand.
Featured Image: Changsuek