Skuad Kebangsaan Korea Guna Khidmat Jurgen Klinsmann Sehingga Piala Dunia 2026
February 27, 2023 Hafizuddin Omar

Kekosongan kerusi ketua jurulatih bagi skuad bola sepak kebangsaan Republik Korea kini diisi dengan khidmat jurulatih kelahiran Jerman, Jurgen Klinsmann.

Jurulatih berusia 58 tahun terbabit akan membimbing skuad berjulukan Taeguk Warriors bagi tempoh kira-kira 3 tahun dan 5 bulan atau bermula Mac 2023 sehingga berlangsungnya kejohanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) memaklumkan perlantikan Jurgen secara rasmi menerusi laman sesawangnya serta pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Difahamkan, ada beberapa jurulatih akan menyertai barisan kejurulatihan bimbingan Jurgen ini. Namun begitu, ianya akan ditentukan selepas Jurgen dan KFA mengadakan perbincangan kelak.

Perlawanan pertama yang akan dikendalikan oleh Jurgen adalah membimbing Korea bertemu Colombia pada 24 Mac kelak.

Klinsmann bukanlah nama yang asing dalam dunia kejurulatihan bola sepak antarabangsa.

Beliau pernah membimbing dua buah skuad kebangsaan iaitu Jerman dan Amerika Syarikat serta dua buah kelab, Bayern Munich dan Hertha BSC.

Untuk makluman semua, kerusi ketua jurulatih skuad kebangsaan Korea kosong selepas jurulatih sebelumnya, Paulo Bento mengumumkan meletakkan jawatan sejurus tumpas 1-4 kepada Brazil dalam Pusingan 16 di Piala Dunia 2022.

Featured Image: Hertha BSC

Komen