Kuching City Beri Tiket Percuma Kepada Penyokong Ketika Bertemu Selangor
February 28, 2023 Hafizuddin Omar

Perlawanan melibatkan Kuching City FC bertemu Selangor FC pada 2 Mac (Khamis) di Stadium Negeri, Kuching akan dapat disaksikan secara percuma oleh para penyokong dan peminat bola sepak di sana.

Ini selepas pihak pengurusan skuad berjulukan The Cats menerusi pengerusinya, YB Fazzrudin Abd Rahman mengumumkan pemberian tiket percuma pada perlawanan kedua Liga Super terbabit.

Pemberian tiket percuma itu boleh dituntut pada hari perlawanan kelak di Kaunter Tiket Zon A & B bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dengan setiap seorang layak mendapat lima keping tiket maksimum.

Difahamkan pemberian tiket percuma ini diberikan sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada semua penyokong dan peminat sukan bola sepak tempatan.

Ini juga merupakan perlawanan ‘home’ sulung buat Kuching City dalam kancah Liga Super setelah mendapat promosi daripada saingan Liga Premier secara merit, pada tahun lalu.

Untuk makluman semua, ini bukanlah kali pertama skuad yang dibimbing oleh Irfan Bakti memberikan tiket percuma kepada para penyokong. 

Pada tahun lalu, Kuching City turut mengumumkan pemberian tiket secara percuma apabila mereka mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia bertemu Sabah FC yang berlangsung di Stadium Negeri.

Featured Image: Kuching City

Komen