Artikel

Tayangan Skrin Besar Liga Super Bermula Di Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan & Kedah

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama bersama Malaysian Football League (MFL) mengumumkan empat negeri atau lokasi pertama bagi program tayangan skrin besar saingan Liga Super 2023 sepanjang bulan Mac.

Empat negeri atau lokasi pertama yang dipilih untuk menjayakan program berkenaan adalah seperti berikut:

  • Kedah Darul Aman FC vs Terengganu FC – Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu (1 Mac)
  • Kelantan FC vs Penang FC – Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang (5 Mac)
  • Kuala Lumpur City FC vs Negeri Sembilan FC – Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban (11 Mac)
  • Kelantan United FC vs Kedah Darul Aman FC – Dataran Starwalk, Majlis Bandaraya Alor Setar (13 Mac)

Perincian mengenai perlawanan, lokasi serta tarikh bagi program tayangan skrin terbabit telah diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam satu sidang media bersama Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani di Menara KBS, pada hari ini.

Seperti didedahkan oleh beberapa pihak sebelum ini, tayangan skrin besar ini dibuat di lokasi dimana pasukan tersebut bermain ‘away games’ atau di tempat lawan. Ini sekaligus memberi peluang kepada penyokong sesebuah pasukan yang tidak dapat ke stadium pihak lawan menikmati perlawanan secara beramai-ramai persis suasana di dalam stadium.

Difahamkan, tayangan skrin besar ini merupakan kesinambungan daripada sambutan hangat masyarakat setempat semasa perlawanan bola sepak Piala AFF 2022 dan Piala Dunia Hoki 2023 baru-baru ini.

Sabagai tambahan, ini merupakan salah satu program KBS dalam menyemarakkan lagi perlawanan bola sepak di samping memberi peluang kepada penyokong pasukan kegemaran masing-masing menonton secara langsung di skrin besar serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan rakyat bersama komuniti setempat. 

Sementara itu, jadual tayangan skrin besar perlawanan Liga Super bagi bulan-bulan berikutnya akan diumumkan oleh pihak KBS kemudian.

komen