Qatar Mengesahkan Piala Asia 2023 Bermula 12 Januari 2024
March 1, 2023 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) mengumumkan secara rasmi tarikh berlangsungnya kejohanan Piala Asia 2023.

Menerusi makluman rasmi negara hos berkenaan, kejohanan yang diadakan empat tahun sekali itu akan berlangsung bermula 12 Januari dan tamat pada 10 Februari 2024.

Perkembangan itu dikongsikan oleh QFA menerusi satu makluman di laman sesawang rasminya sekitar tengah malam tadi.

Dalam kenyataan itu juga, QFA turut mengumumkan pembentukan Ahli Jawatankuasa Penganjuran Tempatan (LOC) Piala Asia 2023 yang akan diterajui oleh Presiden QFA, Sheikh Hamad Bin Khalifa Bin Ahmed Al Thani selaku pengerusi.

Untuk makluman semua, Qatar diumumkan memenangi bidaan menjadi hos Piala Asia 2023 pada Oktober tahun lalu setelah mengetepikan dua lagi pembida, Indonesia dan Republik Korea.

Kejohanan ini akan turut disertai oleh skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon serta tiga negara lain asia tenggara iaitu Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Featured Image: AFC

Komen