Hasrat pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC untuk menggunakan khidmat Manzoor Azwira Abd Wahid sebagai ketua jurulatih sementara (interim) bagi skuad senior mereka ditolak oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL).
Permohonan untuk menjadikan Manzoor sebagai jurulatih sementara diminta oleh skuad berjulukan Harimau Kumbang sehingga jurulatih berusia 46 tahun terbabit menyiapkan Lesen Diploma Profesional AFC pada tahun ini.
Namun begitu, ianya ditolak oleh MFL. Berikutan penolakan terbabit, Penang mengumumkan Chong Yee Fatt yang memiliki Lesen Diploma Pro AFC sebagai ketua jurulatih yang baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.
Sementara itu, Manzoor pula akan berperanan sebagai penolong ketua jurulatih bersama Md Noor Derus.
Difahamkan, penolakan itu dibuat selaras dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan terutamanya individu yang dilantik sebagai ketua jurulatih mestilah mempunyai ‘Pro License’ bagi mematuhi kehendak Pelesenan Kelab (Club Licensing).
Pada masa yang sama, Penang membuat penegasan bahawa keputusan ini bukanlah satu kejanggalan buat kedua-dua jurulatih memandangkan mereka telah bekerjasama sejak awal lagi. Selain itu, Penang turut menepis spekulasi ‘puppet coach’ atau sekadar mahu menggunakan lesen serta kelayakan dimiliki Yee Fatt.
Dimaklumkan, Penang akan mempertimbangkan semula perlantikan Manzoor apabila beliau berjaya menamatkan kursus kejurulatihan Diploma Profesional AFC terbabit.
Untuk pengetahuan semua, Penang mengumumkan Manzoor akan menjadi ketua jurulatih sementara menggantikan Dato’ Zainal Abidin Hassan pada Oktober lalu.
Featured Image: Penang FC