Artikel

Bekas Jurulatih Lee Zii Jia Bimbing Perseorangan Wanita Indonesia

Indra Wijaya yang pernah melatih jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini meneruskan kariernya di negara kelahirannya iaitu Indonesia.

Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) memaklumkan secara rasmi bahawa jurulatih berusia 48 tahun terbabit dilantik sebagai ketua jurulatih bagi kategori perseorangan wanita bermula hari ini.

Antara tugasan utama Indra yang akan dibantu oleh Herli Djaenudin sebagai penolong ketua jurulatih adalah meningkatkan prestasi pemain wanita No.1 republik terbabit iaitu Gregoria Mariska Tunjung.

Selain Gregoria, Indra akan turut memberikan tumpuan untuk melatih beberapa perseorangan wanita Indonesia seperti Putri Kusuma Wardani, Komang Ayu Cahya Dewi, Bilqis Prasista dan lain-lain lagi.

Sebelum ini, Indra sempat melatih Zii Jia yang bergerak sebagai pemain bebas (independent) bermula 1 Mac dengan kontrak selama tiga tahun. 

Bagaimanapun, kerjasama antara Indra dan Zii Jia dilaporkan tamat apabila kedua-dua dikhabarkan berpisah pada penghujung November tahun lalu.

Sebelum melatih Zii Jia yang bergerak secara bebas, Indra berkhidmat selama tujuh tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Featured Image: PBSI

komen