Chungbuk Cheongju Rakam Kemenangan Sulung Di Pentas K League 2
March 1, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab yang disertai oleh pemain kebangsaan, Kogileswaran Raj iaitu Chungbuk Cheongju berhasil memulakan kempen K League 2 dengan langkah kanan.

Langkah kanan itu dicetak menerusi kemenangan 3-2 ke atas Seoul E-Land dalam perlawanan pertama liga yang berlangsung pada petang tadi di halaman lawan, Stadium Mokdong.

Kemenangan terbabit dirakam menerusi jaringan oleh Paulinho, Moon Sang-yun dan Jorge Teixeira pada minit ke-9, ke-51 dan ke-64 masing-masing.

Tidak lama kemudian, tuan rumah cuba mengejar kedudukan terbabit dan berhasil menjaringkan dua gol yang berselang dalam masa lima minit.

Dua jaringan itu dihasilkan oleh Bruno Oliveira dan Tsubasa Nishi pada minit ke-71 dan ke-76 masing-masing.

Akan tetapi, Seoul E-Land tidak berhasil menjelmakan jaringan ketiga bagi mengikat kedudukan. 

Kedudukan 3-2 itu kekal sehingga ke tiupan wisel penamat sekaligus membuatkan Seoul E-Land gagal untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan ini.

Sementara itu, kelibat Kogileswaran tidak kelihatan sama sekali dalam kesebelasan utama mahupun senarai pemain simpanan.

Perlawanan berikutnya, Chungbuk Cheongju akan bertemu Sangju Sangmu di halaman sendiri bagi aksi kedua K League 2.

Featured Image: Chungbuk Cheongju FC

Komen