Artikel

Nafuzi Calar Rekod Cemerlang Terengganu Ke Atas Kedah Sepanjang Tahun Lalu

Terengganu FC mempunyai rekod yang cemerlang menentang Kedah Darul Aman FC (Kedah) dengan meraih tiga kemenangan berturut-turut daripada tiga pertemuan sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, rekod cemerlang terbabit tidak dapat diteruskan oleh skuad berpangkalan di pantai timur itu pada tahun ini apabila tumpas kepada Sang Kenari yang kini dibimbing oleh Nafuzi Zain dalam perlawanan kedua Liga Super, musim ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi, Terengganu yang kini dikendalikan oleh Tomislav Steinbruckner terpaksa akur tumpas kepada Kedah Darul Aman dengan keputusan 1-0.

Lebih malang, kekalahan itu terhasil di penghujung minit permainan dengan pemain Terengganu melakukan kesilapan individu iaitu menolak bola ke belakang sebelum disudahkan oleh Fadzrul Danel sambil disaksikan oleh 21,700 penonton yang hadir.

Jaringan terbabit ternyata tidak dapat dibalas oleh Terengganu dan terpaksa akur dengan keputusan itu apabila pengadil perlawanan, S. Logeswaran meniup wisel menamatkan permainan.

Dengan kemenangan ini, Kedah berhasil mengumpul dua mata penuh daripada dua perlawanan awal Liga Super musim ini. Pada pertemuan pertama lalu, Kedah berhasil mencatatkan kemenangan ke atas Perak FC.

Sementara itu, Terengganu pula terpaksa menelan hakikat yang pahit apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super kali ini selepas tumpas kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) beberapa hari lalu.

Untuk makluman semua, Terengganu ketika dibimbing oleh Nafuzi pada tahun lalu berhasil meraih dua kemenangan dalam perlawanan Liga Super serta satu kemenangan dalam saingan Piala FA apabila bertemu Kedah.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

komen