Dua buah pasukan Liga Super iaitu Penang FC dan Kuala Lumpur City FC menjadi yang terbaru turut mengharamkan kemasukan lato-lato – permainan dua bola pemberat bertali yang menjadi trend tanpa mengira golongan dewasa, remaja mahupun kanak-kanak pada ketika ini – ke dalam stadium.
Permainan tersebut dimainkan dengan menghayunkan kedua-dua bola ke atas dan bawah dengan selaju yang mungkin agar bertembung bagi mengeluarkan bunyi hentakan yang mengasyikkan.
Bagaimanapun, permainan melibatkan hayunan laju bola pemberat ini berisiko untuk mendatangkan kecederaan sekiranya terjerut atau terhantuk di kepala, tangan mahupun anggota badan lain.
Pengharaman kemasukan lato-lato itu terkandung dalam poster senarai Barang Larangan Di Stadium yang dikeluarkan oleh kedua-dua kelab dan dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosial masing-masing pada hari perlawanan.
Senarai tersebut disekalikan dengan pelbagai barangan lain yang sedia maklum diharamkan sebelum ini seperti rokok, pemetik api, objek tajam, pembakar suar, botol plastik, payung, topi keledar, penunjuk laser, mercu, bunga api, pengecas mudah alih (powerbank) dan lain-lain.
Untuk makluman, pengharaman lato-lato ke dalam stadium mula diarahkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman melalui laman sosialnya sebelum sepak mula perlawanan pertama Liga Super melibatkan pasukannya, Sabtu lalu.
Difahamkan, pengharaman itu dibuat bagi memberikan keselesaan semua penonton di stadium termasuk memastikan aspek keselamatan.