Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari melihat terdapat kemungkinan bekas penyerang bintang AS Monaco, Radamel Falcao untuk menyertai skuad bimbingannya pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia kelak.
Jurulatih berusia 42 tahun ini turut memaklumkan bosnya selaku pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sedang mengusahakan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, Solari tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan. Difahamkan ianya bergantung kepada keputusan serta penentuan oleh Tunku Ismail merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) sendiri.
“Kami tahu terdapat kemungkinan itu (Falcao sertai JDT pada jendela perpindahan kedua), bos (TMJ) kami sedang mengusahakan untuk mengadakan kerjasama, saya merasakan ia merupakan sesuatu yang kelab besar seperti JDT tahu akan peluang seperti ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC, semalam.
Untuk makluman semua, media berpangkalan di Sepanyol iaitu Marca melaporkan penyerang kelahiran Colombia yang beraksi bersama Rayo Vallecano dalam kancah La Liga pada ketika ini ditawarkan kontrak selama dua tahun oleh JDT, sekitar dua hari lalu.
Kontrak terbabit turut berpotensi menjadikan penyerang berusia 37 terbabit sebagai duta kelab serta negeri Johor apabila bersara kelak.
Untuk pengetahuan semua, Falcao sudah pernah dikaitkan untuk menyertai skuad berjulukan Harimau Selatan ini pada tahun 2021 lalu menerusi satu laporan media yang berpangkalan di Turki.
Akan tetapi, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menjelaskan ianya sekadar khabar angin serta memaklumkan kedudukan kewangan kelab tidak berada dalam keadaan kukuh untuk menandatangani ‘marquee player’ seperti Falcao pada ketika itu disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers, AS Monaco & Rayo Vallecano