Pemenang Anugerah Bola Emas merangkap pemain terbaik Piala Dunia 2022, Lionel Messi bertindak menempah sebanyak 35 buah iPhone 14 emas untuk rakan sepasukan serta barisan staf skuad kebangsaan Argentina.
Ianya sebagai hadiah daripada pemain berusia 35 tahun atas kejayaan skuad berjulukan La Albiceleste menjulang trofi Piala Dunia setelah menumpaskan Perancis dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Disember lalu.
Perkara itu didedahkan oleh iDesign Gold – sebuah firma yang memperibadikan telefon pintar dengan bahan perhiasan mewah – menerusi laman sosialnya.
Berdasarkan foto yang dikongsikan, kesemua iPhone 14 yang berkilauan itu diukir dengan logo Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), WORLD CUP CHAMPIONS 2022, nombor dan nama khusus bagi setiap pemain sepertimana di belakang jersi masing-masing.
Beberapa foto yang dikongsikan menampilkan iPhone yang bakal menjadi milik Angel di Maria, Alvarez, Mac Allister, De Paul dan Martinez.
Menyoroti di bahagian bawahnya, turut tersemat ukiran PATRICK GROUP serta IDESIGN GOLD.
Kesemua 35 buah iPhone itu dihantar sendiri oleh pengasas iDesign Gold, Benjamin Lyons ke pangsapuri Messi di Paris, Perancis.
Menurut laporan media eropah, tempahan kesemua 35 buah iPhone 14 itu bernilai £175,000 atau bersamaan hampir RM950,000. Ini bermakna setiap satunya bernilai £5,000 atau sekitar RM27,000.