Peminat bola sepak yang membeli tiket di laman sesawang www.tickethotline.com.my serta membayarnya melalui Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM5 – bagi pembelian minimum sebanyak RM50.
Dimaklumkan, promosi ini dijalankan secara khas bermula sekarang sehingga 31 Mac 2023 tertakluk kepada terma dan syarat.
Sementara itu, dalam beberapa bulan akan datang, pengguna TNG eWallet boleh membeli tiket dan barangan MFL eksklusif secara terus melalui aplikasi eWallet – tertakluk kepada terma dan syarat.
Tawaran ini hadir selepas pemilik dan pengendali TNG eWallet iaitu TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) menjalinkan kerjasama dengan penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL).
Susulan kerjasama itu, TNG eWallet diangkat menjadi eWallet rasmi untuk MFL musim 2023 disamping menaja saingan Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala MFL, MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia.
Untuk makluman semua, kehadiran TNG eWallet adalah selaku rakan kerjasama serta penaja yang ke-13 buat MFL serta kejohanan-kejohanan di bawah anjurannya bagi kali ini.
Sebelum ini, mereka telah mengikat kerjasama serta menerima tajaan daripada 12 entiti perniagaan yang terdiri daripada Unifi, Puma, Pos Malaysia, Alif, Malaysia Airlines, Uphamol, Proviton STR, Origina, Colgate, BubblesO2, Al Rajhi Bank dan AEON BiG.