Kemenangan memang cukup sinonim dengan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak ianya mula dipimpin oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) beraksi dalam kancah bola sepak tempatan pada tahun 2013.
Ada kalanya skuad berjulukan Harimau Selatan ini bukan sekadar mencetak kemenangan bahkan turut merekodkan kemenangan dengan jaringan yang besar tidak kiralah dalam pertandingan tempatan mahupun antarabangsa.
Terbaru, JDT baru sahaja melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan minggu ketiga Liga Super 2023.
Namun begitu, itu bukanlah kali pertama JDT merekodkan keputusan besar sebegitu. Berikut Sukanz rangkumkan serta kongsikan tujuh kemenangan terbesar pernah direkodkan JDT sepanjang zaman termasuk perlawanan menentang Negeri Sembilan tersebut:
#1 Pahang vs JDT
Keputusan: 0-6
Tarikh: 21 Mei 2016
Pertandingan: Liga Super
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan ini menyaksikan JDT melakar kemenangan besar hasil jaringan hatrik oleh Jorge Pereyra Diaz (29′, 54′ dan 76′) serta dua jaringan daripada Juan Martin Lucero (6′ dan 47′) serta satu jaringan oleh Marcos Antonio (33′).
#2 Negeri Sembilan vs JDT
Keputusan: 0-7
Tarikh: 6 Mac 2023
Pertandingan: Liga Super
JDT yang bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berhasil merekodkan kemenangan 7-0 ke atas Negeri Sembilan. Kemenangan besar ini hasil jaringan berganda oleh Fernando Forestieri (21′ dan 49′) dan La’vere Corbin-Ong (67′ dan 88′) serta satu jaringan daripada Diogo Luis Santo (41′), Arif Aiman Hanapi (53′) dan Endrick Dos Santos (72′) masing-masing.
#3 JDT vs Melaka United
Keputusan: 7-0
Tarikh: 9 April 2017
Pertandingan: Liga Super
JDT yang beraksi di laman sendiri, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin mengecapi antara kemenangan terbesar dalam sejarahnya ke atas Melaka United hasil jaringan hatrik oleh Safiq Rahim (17′, 58′ dan 87′) serta satu jaringan daripada Gabriel Guerra (6′), Amirul Hadi Zainal (22′), Gonzalo Cabrera (33′) dan Azammuddin Akil (46′) masing-masing.
#4 JDT vs Perak
Keputusan: 7-0
Tarikh: 4 September 2020
Pertandingan: Liga Super
Perlawanan yang masih berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri tanpa kehadiran penyokong merekodkan satu lagi kemenangan dengan keputusan 7-0 buat JDT dan mangsanya kali ini adalah Perak FC. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan terbabit hasil jaringan hatrik oleh Gonzalo Cabrera (36′, 45′ dan 63′) serta satu jaringan daripada Afiq Fazail (22′), Ramadhan Saifullah (45+2′), Safawi Rasid (79′) dan Akhyar Rashid (84′) masing-masing.
#5 JDT vs Kaya FC (Filipina)
Keputusan: 7-2
Tarikh: 25 Mei 2016
Pertandingan: Piala AFC
Perlawanan peringkat Pusingan 16 di kejohanan Piala AFC ini menyaksikan JDT meraih kemenangan besar ke atas Kaya FC hasil jaringan hatrik Juan Martin Lucero (14′, 53′ dan 70′) serta dua gol menerusi Azammuddin Akil (32′ dan 39′). Manakala Jorge Pereyra Diaz dan Mahali Jasuli menambah satu jaringan pada minit 23′ dan 68′ masing-masing. Bagaimanapun, perlawanan tidak berkesudahan dengan ‘clean sheet’ apabila JDT bolos sebanyak dua gol menerusi OJ Porteira dan Anton Ugarte pada minit 53′ dan 68′ masing-masing.
#6 JDT vs Ayeyawady United (Myanmar)
Keputusan: 8-1
Tarikh: 24 Februari 2016
Pertandingan: Piala AFC
Satu lagi kemenangan besar dilakar JDT dalam kancah bola sepak antarabangsa, Piala AFC ketika menentang wakil Myanmar iaitu Ayeyawady United. Lapan jaringan skuad Harimau Selatan ini disumbangkan menerusi hatrik oleh Safiq Rahim (5′, 48′ dan 62′) serta dua jaringan daripada Juan Martin Lucero (81′ dan 86′). Manakala Pereyra Diaz (13′), Marcos Antonio (30′) dan Aidil Zafuan (88′) menambah satu gol masing-masing. Ayeyawady United pula berhasil membawa pulang satu jaringan saguhati yang dijaringkan oleh Thiha Zaw seawal minit 7′ permainan.
#7 JDT vs BRM FC
Keputusan: 10-0
Tarikh: 13 Mac 2022
Pertandingan: Piala FA
JDT yang turun beraksi di laman sendiri bagi melayan kunjungan pasukan daripada kancah Liga M3 dalam Pusingan Pertama Piala FA di laman sendiri berpesta gol dengan mencetak keputusan 10-0 ke atas BRM FC sekaligus menjadikannya sebagai kemenangan terbesarnya sepanjang zaman setakat ini. Tiga daripada sepuluh jaringan itu hadir menerusi hatrik Fernando Forestieri pada minit 2′, 24′ dan 43′. Manakala baki tujuh jaringan lagi disumbangkan oleh Safiq Rahim (7′), Safawi Rasid (19′), Mauricio (56′), Moussa Sidibe (70′), Daryl Sham (83′), Mohamadou Sumareh (89′) dan Danial Amier (90+3′).
Featured Image: JOHOR Southern Tigers