Kelantan United Ikat Pemain Import Ke-6 Beberapa Jam Sebelum Jendela Perpindahan Ditutup
March 7, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Kelantan United FC nampaknya tidak akan mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 dengan kekuatan lima orang pemain import sahaja.

Beberapa jam sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2023 ditutup baru-baru ini, skuad berjulukan Sang Kijang Hijau ini berhasil menambah seorang lagi pemain import dari Brazil sekaligus menjadikan mereka memiliki enam pemain import pada musim ini.

Menerusi makluman kelab, pemain terbaru tersebut ialah Gregory Rocha Mendes Da Silva yang merupakan seorang penyerang serta pemain tengah menyerang kelahiran Sao Paolo serta berusia 27 tahun.

Sebelum menyertai Kelantan United yang dibimbing oleh Tomas Trucha, Gregory berkelana di beberapa buah kelab dalam kancah bawahan bola sepak Portugal seperti CD Cinfaes, Benfica Castello Branco dan Vidago.

Pada tahun 2020, Gregory sempat beraksi dalam saingan Liga Colombia selepas menghabiskan sebahagian besar karier bola sepaknya bersama pasukan-pasukan di negara kelahirannya.

Difahamkan, Gregory telah menyertai beberapa sesi latihan bersama skuad Liga Simpanan dalam usaha mencari kecergasan sebelum diumumkan menyertai Kelantan United secara rasmi, semalam.

Sebagai tambahan, lima pemain import yang diikat oleh Kelantan United sebelum ini adalah Devid de Santana Silva, Jose Elmer Porteria, Ernist Batyrkanov, Yan Victor dan Morgaro Gomis.

Setakat tiga perlawanan Liga Super yang telah dilalui, Kelantan United sekadar meraih satu keputusan seri ketika bertemu Perak FC serta dua kekalahan di tangan Selangor FC dan Sabah FC.

Featured Image: Kelantan United FC

Komen