Artikel

Piala Merlion: Harimau Muda Bertemu Kemboja Di Separuh Akhir

Skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) bimbingan E. Elavarasan akan berhadapan dengan Kemboja pada peringkat separuh akhir Piala Merlions anjuran Persatuan Bola Sepak Singapura bermula 24 hingga 26 Mac kelak.

Pertembungan melibatkan skuad Harimau Muda itu disahkan selepas berlangsungnya majlis undian yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube milik badan induk bola negara seberang tambak, semalam.

Sementara itu, tuan rumah pula akan berhadapan dengan Hong Kong pada peringkat yang sama.

Pemenang daripada kedua-dua perlawanan ini akan mara ke perlawanan akhir bagi merebut trofi kejuaraan manakala pasukan yang kalah akan ke penentuan tempat ketiga dan keempat.

Difahamkan, kesemua perlawanan ini akan dilangsungkan di Stadium Jalan Besar.

Untuk makluman semua, kejohanan jemputan ini mula dipertandingkan secara tahunan sejak ianya diperkenalkan pada 1982 sehingga tahun 1986.

Selepas itu, edisi keenam saingan ini dilangsungkan kembali pada tahun 1992 yang dimenangi oleh Republik Korea. Manakala pada tahun 2009, perebutan kejuaraan Piala Merlion ini hanya melibatkan perlawanan tunggal antara Singapura dan Liverpool.

Bermula tahun 2019, kejohanan ini dijadikan kejohanan peringkat bawah umur khusus bagi skuad kebangsaan B-22.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen