Majlis Undian Piala Asia 2023 Berlangsung Pada 11 Mei Hadapan Di Qatar
March 7, 2023 Hafizuddin Omar

Lawan bagi skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya bagi peringkat kumpulan dalam saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Qatar akan diketahui pada 11 Mei hadapan.

Ini selepas salah satu pasukan yang bertanding iaitu India mengesahkan menerima surat makluman daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi laman sesawang rasminya.

Selain daripada memaklumkan tarikh majlis undian terbabit, surat itu turut berkongsikan majlis tersebut akan diadakan di Katara Open House di Doha, Qatar.

AFC turut menjemput Presiden bagi kesemua Ahli Persatuan Bertanding (Participating Member Associations), ketua jurulatih dan pengurus untuk hadir ke majlis undian terbabit.

Kesemua 24 pasukan bertanding akan dibahagikan ke dalam empat balang dengan enam pasukan yang berada di ranking tertinggi akan mengisi Balang 1 diikuti dengan enam pasukan berikutnya dalam Balang 2, Balang 3 dan Balang 4 masing-masing.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, Malaysia dijangka mengisi Balang 4.

Bagaimanapun, Ranking Dunia akan dikemaskinikan lagi selepas daripada Rehat Antarabangsa FIFA yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mac kelak.

Sementara itu, negara hos, Qatar dalam satu makluman lain mengesahkan saingan Piala AFC itu akan berlangsung bermula 12 Januari sehingga 10 Februari 2024.

Featured Image: AFC

Komen