Terbuka Jerman: 2 Beregu Campuran Negara Kandas Seawal Pusingan 32
March 8, 2023 Hafizuddin Omar

Hari pertama berlangsungnya saingan Terbuka Jerman menyaksikan dua wakil negara dalam kategori beregu campuran sudah terkandas seawal Pusingan 32.

Kejutan terarah kepada pasangan campuran No.1 tanah air merangkap pilihan ketiga kejohanan, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang tumpas kepada beregu Indonesia yang berada di ranking ke-17 dunia, Dejan Ferdinansyah dan Gloria Widjaja.

Dalam pertarungan tersebut, Kian Meng-Pei Jing tumpas secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-14 dalam tempoh 35 minit permainan di Gelanggang 2.

Untuk rekod, ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami Kian Meng-Pei Jing di tangan gandingan Dejan-Gloria dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF. Sebelum ini, Kian Meng-Pei Jing tumpas kepada mereka dalam saingan Terbuka India yang berlangsung pada Januari lalu.

Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran yang turut sama terkandas awal di saingan ini adalah gandingan Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing.

Pasangan yang menghuni ranking ke-66 dunia ini terkandas ekoran tumpas kepada sepasang lagi beregu negara iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang berada di ranking ke-43 dunia.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei tidak diberikan laluan mudah oleh Pang Ron-Mei Xing. Mereka terpaksa beraksi hampir satu jam terlebih dahulu dengan tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-12, 20-22 dan 21-14.

Tang Jie-Ee Wei yang mara ke Pusingan 16 akan menantikan cabaran samada daripada beregu Korea merangkap pilihan keenam kejohanan, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung atau beregu Ireland yang menduduki ranking ke-167, Joshua Magee dan Moya Ryan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen