Gandingan beregu campuran negara yang berada di ranking ke-177 dunia, Yap Roy King dan Veleree Siow melakar satu kejutan dalam perlawanan peringkat Pusingan 32 di saingan Cabaran Antarabangsa Thailand 2023.
Pemain berusia 22 dan 20 tahun masing-masing ini melakar kejutan dengan mencetak kemenangan yang sekaligus menyingkirkan pilihan pertama kejohanan yang datangnya dari Indonesia iaitu Amri Syahnawi dan Winny Oktavina Kandow.
Roy King-Valeree melakar kemenangan ke atas pasangan ke-52 dunia terbabit menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 17-21 dan 21-18 dalam tempoh masa hampir satu jam pertarungan di Gelanggang 4.
Untuk makluman, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua beregu di pentas kejohanan badminton antarabangsa.
Dengan kemenangan ini, Roy King-Valeree dapat mara ke Pusingan 16. Menantinya di sana adalah gandingan Taiwan, Liao Chao Pang dan Liu Chiao-Yun.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia